Di Antara Sedar dan Keinsafan
Aku terlelap bukan kerana letihnya
jasad, tetapi mungkin kerana lalainya hati. Dalam lena yang panjang, dunia
seakan-akan berhenti berbicara. Segala yang dikejar menjadi sunyi, segala yang
dibanggakan hilang nilainya.
Aku terlelap, namun waktu terus
berjalan. Usia berkurang tanpa meminta izin. Mata yang terpejam tidak melihat
dunia, tetapi hati yang terjaga mula melihat hakikat kehidupan.
Betapa sering aku mengejar cahaya
di kaki langit, sedangkan cahaya petunjuk berada dalam doa yang jarang ku ucapkan.
Betapa sibuk aku mencari ketenangan di luar diri, sedangkan jiwa ini terlalu
lama tidak bersujud dengan penuh penyerahan.
Lalu aku tersedar...
Rupanya tidur hanyalah pinjaman
sementara, sebagaimana hidup juga sebuah perjalanan yang tidak pernah
menjanjikan kepulangan esok hari.
Ya Allah, jika aku terlelap
daripada mengingati-Mu, bangunkanlah hatiku. Jika aku tersesat dalam kesibukan
dunia, pimpinlah langkahku kembali kepada-Mu.
Kerana aku tidak takut sekadar
terlelap dalam tidur, tetapi aku takut jika terlelap dalam kehidupan sehingga
terlupa tujuan aku diciptakan.
