Menemani Perjalanan Mu
Sejak mula kau mengenal dunia, ada sesuatu yang sentiasa
menemanimu. Ia tidak bersuara, tidak meminta perhatian, tidak pula menuntut
balasan. Namun kehadirannya terasa dalam setiap hela nafas dan setiap denyut
kehidupan.
Kau mungkin mencarinya di puncak gunung, di dasar lautan, di
tengah kesibukan manusia, bahkan di tempat-tempat yang jauh dari pandangan
mata. Sedangkan selama ini kau terlupa untuk menoleh ke dalam dirimu sendiri.
Ia adalah fitrah yang Allah anugerahkan. Hati yang mengenal
kelembutan, jiwa yang merindukan kebaikan dan nurani yang masih mampu
membezakan antara keangkuhan dengan kerendahan hati.
Namun perjalanan hidup sering membuatkan manusia terlupa.
Dunia mengajar kita mengejar, sedangkan jiwa mengajak kita kembali. Kita
terlalu sibuk mengumpulkan sesuatu sehingga terlupa mensyukuri apa yang telah
dikurniakan.
Wahai diri, jangan biarkan kebisingan dunia memadamkan suara
nuranimu. Peliharalah fitrah itu dengan ilmu, iman, amal dan kasih sayang.
Kerana ada anugerah yang tidak perlu dicari jauh-jauh. Ia
telah hadir bersama kelahiranmu, tetapi hanya hati yang sedar akan mengenali
nilainya.
Dan apabila kau menemui dirimu yang sebenar, jangan berhenti
di situ. Kenalilah siapa yang menciptakanmu.
